KUALA LUMPUR – Media Prima Digital Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Media Prima Bhd, memeterai perjanjian jual dan beli bersyarat dengan Rev Asia Bhd (Rev) dan Youth Asia Sdn Bhd untuk membeli seluruh kepentingan dalam Rev Asia Holdings Sdn Bhd pada RM105 juta.
Rev Asia Holdings, anak syarikat Rev yang dimiliki 70 peratus, dan baki 30 peratus selebihnya dimiliki oleh Youth Asia.
Media Prima dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata cadangan pembelian itu dijangka memberi peluang kepada syarikat tersebut memantapkan kehadirannya dalam perniagaan penerbitan digital, yang seterusnya dijangka dapat memudahkan pertumbuhan kumpulan MPB yang telah diperbesarkan pada masa hadapan.
“Cadangan pembelian itu memberi manfaat sinergistik kepada Media Prima.
“Rekod prestasi kejayaan kami dalam media tradisional dan komitmen untuk meningkatkan lagi kehadiran digital, menjadikan cadangan pembelian itu satu perjanjian yang sangat wajar bagi mengembangkan jangkauan kami secara ketara, di samping mengukuhkan kedudukan kami sebagai penerbit digital terkemuka di Malaysia,” katanya. – BERNAMA