SHAH ALAM – Sepuluh organisasi media cetak dan elektronik utama akan bersinergi bagi mempromosi Malaysia #QuranHour iaitu kempen membaca al-Quran secara serentak selama satu jam pada 24 Ramadan ini.
Bernama adalah antara organisasi media tersebut selain Utusan Malaysia, Kosmo!, Kumpulan Media Karangkraf, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Astro, Kumpulan Media Prima, TV AlHijrah serta Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) sebagai sekretariat kempen.
Gabungan kerjasama itu adalah susulan kejayaan World #QuranHour yang masuk tahun ketiga penganjurannya yang mencatat rekod penyertaan jutaan umat Islam daripada 50 negara tahun lepas.
#QuranHour membawa visi untuk menggalakkan umat Islam seluruh negara dan dunia supaya bersama-sama meluangkan masa bagi membaca, memahami, menghayati serta berinteraksi tentang isi kandungan al-Quran.
Bertemakan ‘Bangsa Berbudi dan Penyayang’, ia dijangka berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya mulai 12 hingga 1 tengah hari.
Manakala bagi kempen World #QuranHour dengan tema ‘World of Compassion’ (Dunia Kasih Sayang), ia dijadual diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 9 Zulhijjah atau 31 Ogos.
Pengasas WUI, Datuk Husammuddin Yaacob berkata gabungan 10 media utama menyertai kempen dilihat mampu menghasilkan gelombang luar biasa untuk menarik perhatian umat Islam sama ada yang tahu dan tidak tahu membaca al-Quran supaya dapat membaca kitab suci itu dan menjadikannya sebagai panduan hidup.
“Setiap media ada kekuatan masing-masing dan gabungan ini pastinya memberi impak yang amat besar. Seperti tahun lepas, kempen yang diberi publisiti oleh media utama ini mendapat maklum balas amat positif.
“Kebanyakan umat Islam kini kurang memahami erti Islam malah ada yang tidak tahu membaca Al-Quran dan disebabkan itu, dengan memperluaskan kempen ini, sekurang-kurangnya mereka terpanggil untuk kembali kepada agama dan kitab, seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya kepada pemberita.
Beliau menghadiri majlis taklimat dan pemeteraian kesepakatan media utama tempatan sempena pengajuran kempen Malaysia #QuranHour dan World #QuranHour di Kompleks Karangkraf Seksyen 15 di sini.
Sementara itu pelakon terkenal yang juga duta kempen #QuranHour, Datuk Rosyam Nor menyeru semua umat Islam supaya tidak malu untuk belajar membaca al-Quran dan memahami kandungannya kerana ia mampu memandu kehidupan manusia ke arah yang lebih baik.
Tahun lepas beliau turut melakukan misi berjalan kaki sejauh 47.2 kilometer dari Kompleks Karangkraf hingga Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di UIAM bagi mempromosi program World #QuranHour.
Namun katanya tahun ini beliau berhasrat untuk melaksanakan inisiatif itu dalam skala penyertaan yang lebih besar. – BERNAMA