MOGADISHU – Seorang lelaki bersenjata tidak dikenali menembak mati Menteri Kerja Raya dan Pembangunan Somalia, Abbas Abdullahi Sheikh Siraji di Mogadishu pada Rabu, menurut pegawai kerajaan dan polis, lapor agensi berita China Xinhua.
Menteri Penerangan, Abdurahman Omar Osman mengesahkan pembunuhan itu dan menurutnya kejadian berlaku berhampiran istana presiden.
“Saya mengesahkan kejadian itu dan Agensi Keselamatan sedang menyiasat kes berkenaan,” kata Osman.
Beliau berkata, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan yang telah mencetuskan ketegangan dalam kalangan pegawai kerajaan.
Seorang pegawai kanan polis berkata, empat anggota tentera telah ditahan bagi membantu siasatan.
Siraji adalah anggota Parlimen Somalia termuda dan menjadi menteri kabinet pada Mac. – BERNAMA