KUALA LUMPUR – Mercedes-Benz Malaysia Commercial Vehicles (MBM CV) menjalin pakatan dengan pengedarnya, Hap Seng Commercial Vehicle (HSCV), dengan membuka pusat jualan, penyelenggaraan dan alat ganti (3S) kenderaan komersial keempatnya di Ipoh, Perak.
MBM CV dan HSCV kini mengendalikan pusat 3S di Kinrara, Klang (Selangor), Kuantan (Pahang), Kota Kinabalu (Sabah) serta Kuching dan Miri (Sarawak).
Naib Presiden Kenderaan Komersial Mercedes-Benz Malaysia Albert Yee dalam satu kenyataan berkata rancangan pengembangan seterusnya akan dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang memandangkan MBM CV komited untuk memenuhi keperluan pelanggan yang bertambah.
“Pusat 3S di Ipoh akan meningkatkan lagi kedudukan kami memandangkan kami akan terus memperluaskan kehadiran di Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan lepas jualan yang sinonim dengan jenama Mercedes-Benz di peringkat dunia,” katanya.
Pusat kenderaan komersial 3S itu dilengkapi dengan kemudahan yang dapat menyelenggara lebih 150 kenderaan komersial Mercedes-Benz sebulan.
Bagi suku pertama tahun ini, MBM CV menjual 577 kenderaan yang terdiri daripada trak Fuso serta van dan trak Mercedes-Benz, mencatatkan peningkatan 10 peratus berbanding suku sama tahun lepas. – BERNAMA