GAMBAR seorang lelaki berkopiah sambil menggalas beg di tangga sebuah masjid menjadi tular di media sosial selepas dia dikatakan dibuang keluarga gara-gara memeluk Islam.
Menurut pengguna Twitter yang dikenali sebagai Amirul, pakcik ini dikatakan mempunyai keluarga di Ipoh, Perak namun dia diabaikan setelah mengambil keputusan untuk memeluk islam beberapa tahun lalu.
Lebih memilukan, sudah dua tahun lelaki ini menjadikan bawah jambatan sebagai tempat tinggalnya di sekitar kawasan Puchong Jaya.
“Kalau ada nampak pakcik ni dekat sekitar Puchong hulur-hulurlah sikit ye, kesian kena tinggal keluarga sebab masuk Islam,” tulisnya di laman Twitter.
Menurut Amirul lagi, isteri pakcik ini telah membawa anak-anaknya berpindah ke Australia, yang mana membuatkan dia tidak selesa dengan tindakan itu memandangkan budaya pergaulan di negara tersebut yang begitu bebas.
Justeru dia tidak mahu anak-anaknya membesar dalam persekitaran begitu.
Difahamkan pakcik ini sangat memerlukan pekerjaan untuk mengumpul wang bagi membawa kes penjagaan anak ke mahkamah.
“Pakcik ini dia cakap dia boleh buat kerja kerja ubahsuai rumah sebab dulu dia ada pengalaman 10 tahun dalam bidang ni.
“Dia nak kerja secepat mungkin sebab nak bawa kes (penjagaan anak) ni ke mahkamah tapi dia takut sebab pendapatan dia tak mencukupi,” tulis Amirul lagi.
Sehingga kini, gambar tersebut menerima lebih daripada 11,400 perkongsian dan 3,000 reaksi netizen. – MYNEWSHUB.CC