KOTA MARUDU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman adalah pemimpin yang wajar diteladani kerana berusaha keras memastikan kehendak penduduk dapat dipenuhi, kata Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air turut menjelaskan rakan seniornya dalam Barisan Nasional (BN) itu adalah seorang yang bersungguh-sungguh mencari penyelesaian terhadap masalah penduduk.
“Beliau suka berada di mana-mana bersama-sama akar umbi di bandar mahukan di kawasan pedalaman, bagi mengetahui lebih dekat kehendak penduduk. Beliau melakukannya sepanjang tahun dan setiap tahun, tidak seperti pemimpin pembangkang yang muncul di bandar atau kampung hanya apabila pilihan raya semakin hampir.
“Kami sokong pemimpin yang mencontohi ketua menteri yang bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi membantu rakyat,” katanya selepas mengiringi Musa di Festival Kebudayaan Rungus di Kampung Teringai Laut yang dianjurkan Persatuan Rungus Bersatu Sabah, hari ini.
Ongkili juga berkata isu tanah adat yang dibangkitkan penduduk setempat membabitkan kawasan konsesi Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (Safoda) di sekitar Kampung Mangin, Kampung Tonsom dan Kampung Sungoi Darat turut mendapat perhatian Musa.
“Saya sudah berbincang dengan ketua menteri dan beliau bersetuju menggunakan geran komunal untuk mengikut adat peribumi atau apa yang telah dibangunkan penduduk peribumi serta memenuhi syarat Ordinan Tanah.
“Musa dalam jawapannya menegaskan keperluan penduduk sentiasa menjadi keutamaan kerajaan. Selain itu, ketua menteri mengakui potensi Pantai Teringai sebagai destinasi tarikan pelancong dan telah menasihatkan pembangunan teratur di kawasan itu,” katanya. – BERNAMA