KUANTAN – Pemain pertahanan Pahang, Muslim Ahmad mahu memastikan benteng terakhir pasukannya kekal kukuh bagi mengelakkan gawang mereka dibolosi Kedah pada aksi final bola sepak Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam, Selangor, Sabtu ini.
Muslim, 28, berkata beliau dan rakan sepasukannya telah bersedia diturunkan jika dipilih, untuk merealisasikan percaturan yang ditetapkan pengendali, Dollah Salleh, bagi membawa pulang piala yang kali terakhir dimenangi negeri itu pada 2014.
“Sebagai pemain yang beraksi di posisi pertahanan, saya terpaksa bersaing secara sihat dengan rakan sepasukan lain untuk memastikan berada dalam kesebelasan utama pada perlawanan akhir nanti.
“Ini pastinya memberi kelebihan buat Dollah untuk membuat keputusan menurunkan pemain yang benar-benar komited dalam mengawal benteng pertahanan,” kata pemain kelahiran Kuala Terengganu itu kepada pemberita di sini, hari ini.
Muslim berkata beliau juga gembira kerana prestasinya kembali meningkat dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan berharap momentum itu dapat diteruskan untuk membantu Pahang merangkul Piala FA musim ini.
“Prestasi saya juga ada turun naik tetapi itu tidak menjadi masalah kerana saya tidak pernah rasa kecewa untuk meneruskan karier.
“Syukur kini persembahan saya kembali baik dan matlamat saya ialah mahu diturunkan untuk membantu pasukan mendapatkan Piala FA,” katanya. – BERNAMA