KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) menggesa PAS Pusat mengambil tindakan disiplin ke atas PAS Baling, Kedah kerana mengadakan aktiviti kemasyarakatan bersama UMNO untuk penduduknya.
Setiausaha Organisasinya, Suhaizan Kayat mendakwa acara sukaneka membabitkan ahli PAS dan UMNO Baling itu perlu dikenakan tindakan disiplin kerana ia bukti kerjasama kedua-dua parti berkenaan.
“Bukti Kerjasama aktiviti politik UMNO dan PAS untuk pilihan raya di Baling Kedah. Atas restu PAS Baling.
“Jika PAS tidak mengambil tindakan displin maka terbukti Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) juga merestui kerjasama politik UMNO dan PAS,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Media melaporkan ahli PAS Cawangan Teluk Sanau Batu 7 bersama UMNO menganjurkan aktiviti sukaneka bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat di situ.
Media propembangkang bagaimanapun melaporkan PAS Baling mengambil pendekatan menjalinkan kerjasama dengan UMNO dengan menganjurkan sukaneka tersebut. – MYNEWSHUB.CC