KOLKATA – Seorang lelaki patah kaki, tulang rusuk dan cedera parah di kepala selepas dihempap seekor anak lembu yang jatuh dari sebuah bangunan empat tingkat.
Lembu seberat 85 kilogram itu bagaimanapun mati di tempat kejadian.
Kejadian berlaku di Tiljala, sebuah daerah di Kolkata.
Menurut saksi, penghuni sebuah rumah di bangunan berkenaan membawa lembu itu naik dan mengikatnya di satu sudut.
“Dia turut membawa rumput kering untuk lembu itu makan di atas bangunan dan mengupah seorang pemuda memandikan haiwan itu.
“Selepas dimandikan kira-kira jam 8 pagi (Ahad lalu), lembu itu naik minyak dan meronta, menyebabkan tali yang terikat pada tengkuknya terputus. Dia merempuh tembok setinggi kira-kira 1 meter lalu jatuh ke bawah, menghempap Abdul Mannan,” kata saksi berkenaan.
Orang ramai yang berada di tempat kejadian membantu mengalihkan bangkai lembu berkenaan sebelum membawa Mannan ke hospital.
Sementara itu, isteri Mannan, Seema Begum berkata, dia bersyukur kerana suaminya terselamat walaupun cedera parah.
“Mulanya saya tidak percaya dia dihempap oleh lembu. Syukur dia masih hidup,” kata wanita itu.
Pemilik bangunan, Anjum Alam berkata, anak lembu itu milik seorang penyewa yang meninggalkan bangunan itu dua bulan lalu.
“Dia menyeludup lembu itu ke dalam bangunan tanpa pengetahuan saya. Saya akan mencarinya,” kata Anjum.
Dia bagaimanapun berjanji akan menanggung semua kos perubatan Mannan memandangkan kejadian berlaku di bangunan miliknya.
Menurut penduduk tempatan, sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk di kawasan itu menyimpan lembu di dalam bangunan kerana pihak berkuasa tempatan Tiljala mengharamkan pemeliharaan lembu di sekitar bandar itu. – Agensi/myMetro Online