MIRI – Seorang pekerja pub di Bintulu berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan setelah ditahan memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM27,930 pada 11.25 malam, semalam.
Ketua Polis Bintulu Supt Zailanni Amit berkata, lelaki rakyat tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di hadapan sebuah pub di Bintulu dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pacuan empat roda milik suspek menemukan 705 paket dan biji pil dadah.
“Antara jenis dadah yang dirampas ialah 144 paket dadah ketamine, 374 biji pil eramin 5, 186 biji pil ecstasy dan sepaket serbuk hijau dipercayai dadah ecstasy,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas dianggar seberat 245.49 gram dan turut dirampas Nissan Navara milik suspek.
“Ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya sambil menambah suspek ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA