BAGAN DATUK – Pelancongan berasaskan sukan rekreasi dan makanan akan diberi tumpuan bagi menjadikan Bagan Datuk sebagai destinasi pelancongan pada masa depan.
Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Hussin berkata buat masa ini, hanya Pulau Sembilan yang menjadi tarikan pelancong tetapi kini telah ditutup bagi proses pemuliharaan.
“Jadi sebagai langkah alternatif, kita melihat ‘sport tourism’ dan ‘food tourism’ yang merupakan salah satu cabang dalam industri pelancongan boleh diketengahkan sebagai tarikan terbaru.
“Selain itu, permukaan bumi Bagan Datuk boleh dikatakan sesuai untuk aktiviti sukan permotoran, basikal lasak, penjelajahan kenderaan pacuan empat roda dan aktiviti rekreasi air yang berdekatan dengan Sungai Perak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Bagi pelancongan berasaskan makanan pula, Hamzah melihat kelebihan Bagan Datuk yang terletak berhampiran laut dan sungai memudahkan para peniaga mendapat bekalan segar makanan laut dan sungai.
Menurut Hamzah lagi, bagi pelancong yang ingin bermalam di Bagan Datuk, industri inap desa boleh menjadi pilihan kemudahan penginapan bagi mereka yang inginkan kelainan.
Hamzah berkata tempat bersejarah Beting Beras Basah turut akan dimasukkan dalam senarai tempat wajib dilawati pelancong selain memperkenalkan kepada pelancong tempat memproses minyak kelapa dara yang sinonim dengan daerah tersebut.
“Terbaru kita dapati apabila air surut di sekitar Beting Beras Basah, permukaan air itu akan memantulkan keadaan langit, seolah-olah kita berdiri atas langit dan sesuai untuk aktiviti fotografi dan semua ini nilai tambah kepada Bagan Datuk. – BERNAMA