KUCHING – Seorang pemandu lori kargo dan kelindannya maut selepas kenderaan itu melanggar lori tangki minyak sawit di KM11 Jalan Kuching-Sri Aman dekat Simunjan pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu turut menyebabkan pemandu lori tangki minyak sawit cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sri Aman.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata ketika kejadian, lori kargo itu sedang dalam perjalanan dari arah Sri Aman ke Kuching manakala lori tangki minyak sawit dari arah bertentangan.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori kargo yang dipandu Lee Poh Ang, 27, bersama kelindan ,Wong Soong Kui, 37, telah memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar lori tangki minyak sawit yang dipandu Azni Ali, 49,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bingkok berkata akibat pelanggaran itu, Soong Kui maut di tempat kejadian manakala Poh Ang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Azni pula mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA