KUALA LUMPUR – Landskap pembiayaan mikro Malaysia, yang berkembang daripada dipacu kerajaan kepada sesuatu yang melibatkan penyertaan cergas sektor swasta, telah memanfaatkan lebih satu juta perusahaan mikro di negara ini, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Timbalan Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pada awal abad ini, jumlah pembiayaan tertunggak sektor berkenaan berada pada US$35 juta (RM151 juta) dan meningkat lebih 30 kali ganda kepada US$1.2 bilion (RM5.2 bilion) pada 2016.
“Walaupun telah mencapai kejayaan yang ketara sejak 1970-an bagi membangunkan sistem kewangan yang lebih inklusif, tugas kita dalam kewangan mikro masih jauh daripada selesai.
“Potensi sepenuhnya tidak boleh direalisasikan sehingga kita melihat hubungan langsung kepada penambahbaikan kebajikan dalam segmen mikro dan seterusnya pertumbuhan mampan,” katanya dalam ucapan pada Simposium Kewangan Mikro Global 2017 di sini, hari ini.
Abdul Rasheed berkata, pembiayaan mikro telah berjaya menambahbaik segmen masyarakat yang sebelum ini tersisih, untuk mewujudkan pendapatan sendiri, mengumpul aset dan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.
“Dengan pembasmian kemiskinan menjadi tumpuan utama dalam agenda dasar global seperti digariskan dalam Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pembangunan pembiayaan mikro sudah tentunya yang paling penting dalam agenda pembangunan Malaysia,” katanya.
Pada 2016, BNM memperkenalkan rangka kerja pembiayaan mikro bagi menggalak pembangunan industri pembiayaan mikro yang mampan di Malaysia.
“Ia akan menawarkan usahawan mikro dengan akses yang lebih kepada pembiayaan, terutama mereka yang tidak mempunyai cagaran, di samping prosedur permohonan yang mudah serta dokumentasi yang diperlukan adalah minimum.
“Selain itu, tempoh yang diambil oleh institusi kewangan untuk melulus dan mengeluarkan pembiayaan mikro juga singkat,” kata Abdul Rasheed.
Beliau berkata, pembiayaan mikro juga berkembang dalam era perubahan teknologi yang amat pesat sekarang ini, sambil menambah bahawa penyesuaian adalah kunci untuk pertumbuhannya. – BERNAMA