KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah individu yang berhasrat menubuhkan pusat pengajian tahfiz al-Quran perlu memiliki kelayakan, berkredibilti dalam pengurusan kewangan dan perihal sekolah secara sistematik.
Baginda bertitah, ia penting dalam memastikan masa depan pelajarnya terjamin, dapat dibimbing secara holistik serta menjadi ilmuan yang disegani seterusnya berbakti kepada ummah dan masyarakat dunia.
“Untuk memulakan sebuah maahad tahfiz tidak memadai jika sekadar mempunyai penyumbang yang mewakafkan tanah dan pembinaan bangunan serta seorang dua guru yang minat mendidik tanpa sebarang pengalaman atau kelulusan.”
“Sungguhpun hasrat itu murni demi mencari keberkatan Allah, namun aspek lain seperti perancangan dan pengurusan aliran tunai, kurikulum dan silibus yang akan digunakan, keselamatan pelajar dan premis serta bajet khusus untuk penyelenggaraan bangunan masa hadapan, tidak harus diketepikan,” titah baginda.
Baginda bertitah pada program Tautan Kasih Felda Global Ventures (FGV) dan MSM Malaysia Holdings Berhad bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di perkarangan Masjid Al-Husna Batu Bertangkup dekat sini malam tadi.
Ketibaan Tuanku Syed Faizuddin disambut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Mohamad Amri Sahari, Ketua Pegawai Sumber Manusia FGV Mohd Najib Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd. Nazim Mohd Noor.
Menurut baginda, niat baik sahaja belum cukup sekiranya tiada kelulusan dan pengalaman dalam bidang tersebut, kerana akhirnya pelajar yang akan menjadi mangsa.
“Saya amat dukacita melihat pelajar maahad tahfiz yang digunakan untuk meminta sumbangan di kedai makan, stesen minyak, R&R dan tempat tumpuan lain di bandar besar untuk membantu meneruskan kelangsungan sekolah masing-masing.
“Sedangkan maahad tahfiz al-Quran seharusnya menyediakan pendidikan yang seimbang kepada pelajar serta mengangkat nama pusat berkenaan sebagai tempat pengajian golongan cemerlang, bukan tempat mereka yang keciciran akademik,” titah baginda.
Pada majlis tersebut FGV dan MSM menyerahkan sumbangan pelbagai bentuk bernilai RM370,000 kepada MAIPs untuk diberikan kepada sekolah rendah dan menengah kebangsaan, tiga maahad tahfiz dan Masjid Al-Husna di sini. – BERNAMA