KUALA LUMPUR – Penasihat Umum Parti Amanah Negara (PAN), Ahmad Awang mendakwa beliau dipujuk oleh pihak tertentu supaya kembali kepada PAS.
Beliau dalam satu kenyataan menerusi Facebook mendakwa dipujuk supaya meninggalkan PAN kerana pihak berkenaan menyifatkan PAN sebagai sebuah parti liberal dan sekular.
“Ada yang mengajak saya untuk kembali semula ke parti asal kerana pada mereka parti yang saya sertai sekarang ini adalah parti liberal dan sekular.
“Namun jika ditanya dimana sekular dan liberalnya mereka tidak dapat memberi jawapan kukuh. Menuduh secara melulu itu memang sangat mudah,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad mendakwa konon PAN adalah sebuah parti Islam yang meletakkan dasar serta matlamat perjuangannya adalah Islam.
Dakwa beliau, apa yang membezakan PAN dengan parti asalnya, PAS adalah dalam soal pendekatan dan strategi politik.
“Kami (PAN) mahu mengambil alih pentadbiran (Kerajaan Persekutuan),” tegasnya.
PAN merupakan salah sebuah parti politik yang bernaung di bawah Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular, DAP.
Selain PAN, turut bernaung di bawah Pakatan Harapan ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Pakatan Harapan dianggap sebagai liberal dan sekular oleh ramai pihak berdasarkan kepada tindak tanduk pemimpinnya sendiri.
Gabungan parti pembangkang itu antara lain membantah usaha memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah melalui pindaan akta berkaitan di Parlimen.
Pemimpin Pakatan Harapan turut membantah cadangan PAS Kelantan supaya aktiviti perniagaan di negeri itu dihentikan sementara pada waktu Maghrib.
Cadangan itu dibuat bagi memberi laluan kepada orang ramai mendirikan solat fardu berikutan tempoh waktunya yang suntuk.
PAN ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS yang kecewa kerana gagal mempertahankan jawatan masing-masing beberapa tahun lalu.
Mereka disingkirkan oleh akar umbi PAS kerana dilihat terlalu taksub kepada ideologi DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MYNEWSHUB.CC