KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru penduduk di perumahan bertingkat agar tidak mengabaikan tanggungjawab membayar caj penyelenggaraan bangunan bagi mengelakkan kawasan mereka bertukar menjadi kawasan yang sesak dan kotor.
Tengku Adnan berkata kegagalan mereka untuk bekerjasama dan membayar caj tersebut bakal menjejaskan fasiliti sedia ada sekali gus menjejaskan imej bandar raya.
“Di kawasan bandar, trend pembangunan berbentuk vertikal atau bertingkat merupakan satu fenomena biasa yang perlu diterima oleh penghuni kota pada masa kini dan akan datang.
Untuk itu mereka perlu mengamalkan sikap toleransi dan bertanggungjawab membayar caj-caj mandatori yang dikenakan bagi memastikan kemudahan awam dan persekitaran yang sentiasa terurus dan terpelihara,” katanya ketika merasmikan Seminar Pembangunan Komuniti Strata Bandaraya Kuala Lumpur 2017 di sini hari ini.
Menyifatkan kesedaran komuniti strata tentang hak dan tanggungjawab sebagai masih rendah, Tengku Adnan berkata seminar itu diharap dapat memberi kefahaman dan pendedahan bagi pengurusan strata yang lebih baik.
“Sekiranya semua komuniti strata diurus dengan baik secara profesional, saya yakin ia akan menyumbang kepada satu kualiti hidup yang baik dan akhirnya mewujudkan sebuah bandar sejahtera, ceria dan harmoni,” katanya. – BERNAMA