PENJAGA gol salah sebuah kelab di Brazil, yang mengarahkan pembunuhan kekasihnya dengan kejam selain memberi makan mayat wanita itu kepada anjing peliharaannya, telah diarahkan kembali ke penjara.
Mahkamah Agung Brazil memutuskan demikian selepas menolak rayuan Bruno Fernandes de Souza terhadap hukuman penjara 22 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sebelum ini.
Bruno merupakan penjaga gol bagi kelab Boa Esporte.
Dia telah dibebaskan pada bulan Februari lalu sementara menanti rayuannya ke atas hukuman selepas didapati bersalah membunuh kekasihnya, Eliza Samudio.
Ketika pembunuhan itu dilakukan pada 2010, Bruno merupakan bintang bolasepak bagi kelab gergasi tempatan, Flamengo dan dilihat sebagai pemain yang berpotensi untuk menyertai skuad Brazil bagi kelayakan Piala Dunia 2014.
Ketika menanti keputusan rayuan terhadap hukuman berkenaan, Bruno telah menyertai kelab Boa Esporte pada bulan Mac lalu namun kemasukannya ke kelab terbabit telah dikecam.
Ia juga mengakibatkan kelab terbabit kehilangan lima penaja sebaik sahaja namanya diumumkan menyertai Boa Esporte.
Bruno bagaimanapun tidak pernah mengaku terlibat dalam pembunuhan tersebut namun polis percaya dia merancang penculikan dan pembunuhan Eliza bersama lapan yang lain termasuk isterinya, Dayane.
Bruno mempunyai seorang anak dengan Eliza namun dia tidak pernah mengaku sebagai bapa kepada kanak-kanak berkenaan.
Sebaik sahaja keputusan itu diumumkan, Boa Esporte telah membatalkan latihan manakala pengarahnya pula enggan melayan pihak media yang ingin mendapatkan komen. – MYNEWSHUB.CC