KUALA LUMPUR – Nyaris maut akibat terlelap ketika memandu menjadikan Khairul Nizam Ahmad lebih berhati-hati dan tidak leka untuk mendapatkan rehat dan tidur yang cukup.
Ejen insurans itu berkata kejadian yang berlaku pada 2015 itu ketika beliau masih menuntut di sebuah kolej swasta telah membuka matanya untuk lebih menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan diri.
“Saya tidak cukup tidur kerana mengulang kaji pelajaran hingga lewat malam bagi menghadapi peperiksaan tahun akhir, ditambah pula dengan tekanan untuk mendapatkan keputusan terbaik,” katanya kepada Bernama.
Menceritakan kejadian itu, Khairul Nizam berkata beliau yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke kolejnya di Petaling Jaya hampir melanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan kereta yang dipandunya berpusing dan hilang kawalan.
Disebabkan terlalu panik, pemuda berusia 33 tahun itu akhirnya terpaksa memandu secara perlahan ke stesen minyak berdekatan untuk menenangkan diri dan tidur seketika sebelum meneruskan perjalanan.
“Saya bernasib baik dan bersyukur kerana tidak berlaku apa-apa kemalangan atau menyebabkan kereta saya rosak,” katanya.
Diminta mengulas menganai perkara itu, seorang pakar psikologi dan kaunseling Dr Meriam Omar Din berkata secara purata, golongan dewasa memerlukan tidur selama lapan jam sehari.
Katanya terlelap atau dipanggil ‘micro sleep’ sering berlaku kepada mereka yang tidak cukup tidur disebabkan pelbagai faktor seperti tekanan atau bebanan tugas.
“Micro sleep bukan penyakit. Ia adalah keadaan seperti tidur dan menyebabkan seseorang tidak boleh mengawal fikiran dan deria dalam masa yang
singkat.
“Keadaan ini boleh berlaku di mana-mana atau ketika melakukan sesuatu kerja, namun micro sleep lebih berbahaya kepada mereka yang sedang memandu atau menunggang motosikal,” katanya.
Dr Meriam berkata walaupun minuman berkafein seperti kopi dapat membantu, namun tidur tetap memainkan peranan penting untuk memastikan diri seseorang kekal cergas dan bertenaga. – BERNAMA