PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertemu keluarga Salihin Ahmad serta melahirkan penghargaan kerajaan dan rakyat atas pengorbanannya sehingga sanggup menjual rumah bagi membiayai penyertaan dua puterinya ke pertandingan catur di luar negara.
Dalam pertemuan singkat selepas menghadiri majlis inisiatif Negaraku yang dijayakan Malaysia Airlines di Perdana Putra di sini hari ini, Najib berkata Malaysia berbangga dengan pencapaian Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, yang masing-masing bertanding dalam kategori bawah 17 tahun dan bawah 7 tahun pada Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania, yang bermula pada 22 April sehingga 1 Mei nanti.
Salihin yang merupakan guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, Klang dilaporkan terpaksa menjual rumah keduanya di Segamat, Johor, pada harga RM65,000 untuk membawa Afiqah Zahra dan anak sulungnya, Nur Anisah, ke pertandingan berkenaan kerana tiada penajaan.
Perdana Menteri berkata pengorbanan Salihin dan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pertandingan itu akan dihargai melalui kementerian berkaitan.
“Ini merupakan satu komitmen dan kesungguhan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Kita akan pastikan bakat seumpama ini akan dipupuk dan disokong sebaiknya, kerana biarpun individu, ia membawa nama Negaraku Malaysia,” katanya.
“Tahniah Cikgu Salihin dan semua peserta Malaysia di Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017,” kata Najib.
Salihin, 45, yang juga jurulatih catur berkata dua anaknya itu berlatih minimum enam jam seminggu sesama mereka dan bersama kawan-kawan serta di hadapan komputer untuk menyertai pertandingan antarabangsa yang mempunyai sembilan pusingan itu.
“Afiqah hampir-hampir menjadi johan tetapi di pusingan lapan dan sembilan dia jatuh seri, dan akibat gerakan yang dilakukan kurang menjadi, dia jatuh kepada kedudukan lima dunia bagi kategori perempuan bawah 7 tahun. Dua pusingan terakhir amat penting dan saya memang memberi tekanan kepadanya untuk menang.
“Dia cuba sedaya upaya. Selepas pusingan kelapan, dia masuk bilik dan meraung-raung kerana amat kecewa dengan gerakan yang dilakukan kurang menjadi pada pusingan itu. Tetapi, saya melihat Afiqah mempunyai potensi besar kerana tahap pemikiran dalam permainan ini adalah jauh lebih matang,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Perdana Menteri.
Salihin berkata Nur Anisah, yang pernah merangkul gelaran ‘Woman Candidate Master’ di Pertandingan Catur Asia Timur di Korea Selatan, turut seri dengan rakan sepasukan, Vivien Ngieng dalam kategori perempuan bawah 17 tahun.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi menjemput kami. Perdana Menteri telah memberikan kata-kata semangat untuk meneruskan usaha kami menempa lebih banyak lagi kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia.”
Nur Anisah berkata pengorbanan ibu bapanya amat besar dan ingin berjaya dalam semua pertandingan catur yang bakal disertai serta mengharumkan nama keluarga dan negara di persada antarabangsa. – BERNAMA