SHAH ALAM – Polis sedang memburu seorang lelaki yang melarikan diri dengan sebuah kenderaan MPV polis dalam kejadian di Taman Perindustrian Batu Caves dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata dalam kejadian 5.30 pagi itu, anggota polis yang menerima maklumat mengenai kejadian pecah masuk sebuah gudang, berjaya menahan lelaki berumur 33 tahun itu di lokasi kejadian.
“Suspek memecah masuk gudang bersama-sama anak saudara lelakinya yang berusia 20 tahun. Selepas mendapat laporan berhubung kejadian itu, pasukan MPV polis segera ke tempat kejadian sebelum dapat memberkas suspek.
“Bagaimanapun, suspek dapat melarikan diri dengan kenderaan MPV polis apabila seorang anggota yang ketika itu bersama suspek, keluar daripada MPV itu untuk mengesan suspek lain di dalam gudang tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata anak saudara suspek kemudian dapat diberkas polis di perkarangan gudang berkenaan.
“Setengah jam selepas kejadian itu, polis mengesan MPV berkenaan yang ditinggalkan suspek di tepi lebuh raya Latar (Kuala Lumpur-Kuala Selangor),” katanya.
Ali berkata pihaknya melakukan siasatan terperinci termasuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) anggotanya bagi menyiasat punca suspek dapat meloloskan diri menggunakan kenderaan polis.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 222 dan 223 Kanun Keseksaan. – BERNAMA