IPOH – Polis Perak tidak pernah mengarahkan orang awam membuat laporan polis menghalang perdebatan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anggota Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang dijadual di Kuala Kangsar, bulan lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan menegaskan pihaknya tidak akan sesekali terlibat dalam apa-apa pertikaian politik atau menyebelahi sesiapa di negara ini.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak adalah profesional dan hanya mengambil tindakan mengikut lunas undang- undang dan peraturan yang ada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan sebuah portal akhbar berbahasa Inggeris pada 23 Mei lalu yang memetik Mohamed Nazri sebagai berkata debat itu dibatalkan selepas beberapa pemimpin UMNO diarah membuat laporan polis bagi menghalang ia daripada berlangsung.
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu mendakwa mempunyai lima salinan laporan polis berhubung perkara tersebut. – BERNAMA