TANGKAK – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM402,173 dalam serbuan yang dijalankan di Sungai Mati, dekat sini pada 14 Mei lepas.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata berdasarkan maklumat orang ramai, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dijumpai bersama pelbagai jenis dadah pada badannya di sebuah rumah kira-kira 11.00 pagi Ahad lepas.
“Hasil pemeriksaan lanjut dalam sebuah bilik di rumah sewa lelaki itu, polis menjumpai sejumlah dadah pelbagai jenis,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Tangkak hari ini.
Dalam operasi itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 1278.03 gram, pil eremin (19,000 biji), pil ecstasy (800 biji), syabu (268.98 gram), ganja (102.63 gram), dan ketamin (420 gram) dengan nilai pasaran dianggarkan RM402,173.
Beliau berkata polis turut merampas serangkai kunci, sebuah kereta Toyota Camry, satu alat penimbang dan pelbagai jenis plastik yang dipercayai digunakan suspek untuk tujuan pengedaran dadah di pusat hiburan sekitar daerah Tangkak, Muar dan Melaka.
Mohad Idris berkata, suspek yang positif dadah jenis Metaphetamine itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai baru tiga bulan memulakan operasi.
“Polis masih giat memburu rakan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952,” katanya.
Beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras penyalahgunaan dadah. – BERNAMA