KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Bhd memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi pemasangan kemudahan 100 loker pintar atau EziBox di stesen minyak Petronas terpilih di bawah fasa kedua pelaksanaan projek berkenaan.
Kemudahan Ezibox itu membolehkan para pelanggan, khususnya pengguna untuk menghantar dan mengambil barangan atau bungkusan mereka 24 jam sehari.
Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata syarikat kurier nasional itu setakat ini telah melakukan pemasangan 50 daripada 60 EziBox yang dirancang di bawah fasa pertama projek yang menelan kos sebanyak RM7.2 juta.
“Sebanyak 10 kemudahan EziBox itu dijangka dapat diletakkan di stesen-stesen Petronas pada minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kemudahan Pos Laju EziBox ke-50 di stesen Petronas Jalan Kolam Air Lama dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shukrie berkata pihaknya menyedari kesukaran pelanggan untuk mengambil bungkusan atau barangan mereka di pusat kutipan Pos Laju sedia ada.
“Sehubungan itu, pelaksanaan kemudahan Pos Laju EziBox ini bertujuan memudahkan serta demi keselesaan para pelanggan selain dalam persekitaran yang lebih selamat,” katanya.
Selain itu, katanya, peningkatan transaksi dalam talian turut mendorong pertumbuhan pendapatan Pos Malaysia sebanyak 24 peratus pada masa ini berbanding 17 peratus sebelumnya. – BERNAMA