JOHOR BAHRU – Pemimpin pembangkang mempersoalkan mengapa Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kononnya tidak hadir sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 semalam.
Pemimpin Pakatan Harapan daripada Parti Amanah Negara (PAN), Suhaizan Kayat mendakwa konon ada rakannya yang mempersoalkan perkara ketiadaan tokoh Johor itu kepadanya terlebih dahulu.
Justeru, beliau dalam nada berbaur provokasi meminta pihak yang merakamkan gambar Mohamed Khaled di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam supaya berkongsi gambar di Facebook beliau.
“Kawan-kawan saya bertanya. Mana Menteri Besar Johor dalam himpunan 71 tahun malam tadi? Tolong bagi gambar Khaled Nordin di Bukit Jalil,” soal Suhaizan menerusi Facebook beliau hari ini.
Tinjauan mynewshub di laman Facebook rasmi Mohamed Khaled hari ini bagaimanapun mendapati terdapat beberapa keping gambar Menteri Besar Johor itu berada di pentas sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 malam tadi.
Gambar eksklusif tersebut malahan disertai dengan kapsyen “melambai kepada ahli UMNO Johor yang turut sama berhimpun di Stadium Bukit Jalil sempena Hari Ulang Tahun UMNO ke-71 semalam”.
Ia menunjukkan beliau kelihatan ceria di atas pentas khas bersama-sama dengan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. – MYNEWSHUB.CC