TINDAKAN seorang ustaz memukul seorang pelajar tahfiz hanya kerana ambil minuman di dalam peti ais tanpa kebenaran mengundang padah apabila dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.
Majistret Atiqah Abd Karim@Husaini menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Saufi, 22, yang mengaku besalah memukul pelajar berkenaan menggunakan penyapu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahu dan leher.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan sekiranya, gagal berbayar denda.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang kini bekerja sebagai pencuci kereta menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun hingga menyebabkan mangsa cedera di bahu, leher, jari kanan dan lebam di paha.
Mohammad Fakhrurrazi didakwa melakukan kesalahan itu di tahfiz di Batu 13, Jalan Jurutera, Puchong, Selangor pada 3.30 petang, 22 April 2016.
Atas kesalahannya, tertuduh disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Harian Metro