DOHA – Forum Masa Depan Media di Sidang Kemuncak Pemimpin anjuran Al Jazeera Network memberi peluang kepada pengamal media mempelajari teknologi terkini digunakan industri media selain membincangkan cabaran dihadapi selari dengan perkembangan pesat teknologi, lapor agensi berita Qatar (QNA).
Forum dua hari itu dirasmikan pada Rabu oleh Pengerusi Al Jazeera Media Network Sheikh Hamad Thamer Al-Thani.
Beliau berharap acara itu dapat menyediakan ruang serta peluang kepada pihak berkaitan mengemukakan cadangan dan panduan yang berupaya membuat jangkaan perubahan bakal dihadapi industri media sekaligus membolehkan penggiat media membuat persediaan lebih baik pada masa depan.
Pada masa sama, Sheikh Hamad turut memuji usaha Al Jazeera Media Network menganjurkan forum berkenaan dengan kerjasama Microsoft, Cisco, Avid, CommVault, Tech Mahindra, SIP, Global Smart dan Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi serta sokongan menjadikan forum itu satu kenyataan.
Forum yang pertama kali dianjurkan di Timur Tengah itu menghimpunkan wakil pertubuhan media dan pegawai syarikat utama teknologi di bawah bidang digital dan inovasi berkongsi pengalaman serta mempelajari teknologi terkini.
Objektif forum antara lain meneroka inovasi teknologi secara mendalam, mempelajari prospek dan peluang memahami fasa kemajuan teknologi seterusnya dalam transformasi industri media. – BERNAMA