SEPANG – Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa berangkat tiba di Malaysia malam ini sempena lawatan sulung baginda ke negara ini selama empat hari sehingga Rabu (3 Mei).
Pesawat yang membawa baginda dan delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada pukul 11.30 malam.
Ketibaan baginda disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Lawatan tersebut adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan yang pertama dilakukan ketua negara itu sejak kedua-dua negara mengadakan hubungan diplomatik pada 1974.
Raja Bahrain menaiki takhta pada 6 Mac 1999.
Lawatan ini merupakan sebahagian siri lawatan baginda ke negara di rantau Asia Tenggara dan baginda dijangka ke Brunei selepas Malaysia.
Sempena lawatan itu, Raja Hamad akan menghadap Sultan Muhammad V dan diberikan sambutan negara di Parlimen esok (1 Mei) dan kemudian diraikan pada Majlis Santapan Negara di Istana Negara.
Raja Hamad dijadual bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, Putrajaya pada keesokannya (2 Mei) dan pada sebelah malam baginda dan delegasi akan diraikan dalam Majlis Makan Malam Rasmi.
Raja Bahrain dan Najib dijangka menyaksikan penandatanganan beberapa memorandum persefahaman (MoU) termasuk perjanjian mengenai perkhidmatan udara dan kerjasama pertahanan. – BERNAMA