PUTRAJAYA – Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan di Seri Perdana di sini, malam ini.
Terdahulu, ketibaan baginda di kediaman rasmi perdana menteri pada kira-kira 8.50 malam disambut oleh Najib.
Selepas pertemuan empat mata itu, Raja Hamad dan Najib kemudian mengetuai delegasi masing-masing dalam satu mesyuarat.
Baginda dan Najib kemudian menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) di antara Bahrain dan Malaysia termasuk perjanjian mengenai perkhidmatan udara dan kerjasama pertahanan.
Raja Hamad tiba untuk lawatan negara empat hari ke Malaysia pada Ahad atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. – BERNAMA