RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Raja Salman di sini pada Isnin.
Mereka bertemu Penjaga Dua Masjid Suci itu pada pukul 2.30 petang (7.30 malam waktu Malaysia).
Perdana Menteri mengadakan perbincangan dengan Raja Salman sebelum baginda meraikan Najib dan anggota delegasinya pada majlis makan tengah hari.
Delegasi Najib termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin.
Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammad bin Salman dan anggota Kabinet Arab Saudi turut hadir.
Najib kini dalam hari terakhir lawatan kerja tiga hari ke Arab Saudi.
Raja Salman, Najib, Presiden Amerika Syarikat (AS), Presiden Donald Trump dan lebih 50 pemimpin Arab dan Islam menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam-AS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz di sini pada Ahad.
Raja Salman berkunjung ke Malaysia akhir Februari lalu untuk lawatan negara empat hari. – BERNAMA