KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia termasuk yang berada di luar negara perlu mengamalkan budaya yang tinggi dalam kehidupan seharian dan mampu menjadi ikutan masyarakat lain.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim menarik perhatian bahawa rakyat Jepun dan Korea misalnya mengamalkan amalan pembudayaan tinggi sehingga menjadi contoh masyarakat dunia.
“Masyarakat Korea dan Jepun menyedari erti dan hakikat peribahasa berkaitan melentur rebung sebelum menjadi buluh (dan ini turut menyentuh) amalan praktikal berkaitan dengan masyarakat penyayang, prihatin, hormat ibu bapa, guru dan orang tua, cintakan ilmu dan kebersihan.
“Semua ini dan banyak lagi diajar semasa peringkat kanak-kanak lagi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama berkenaan ‘Pencapaian Budaya Tinggi Dalam Kalangan Masyarakat Malaysia’ kepada pelajar Malaysia dan China di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), China baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rais berkata bahasa memainkan peranan penting dalam sistem kehidupan berbudaya tinggi yang mana bahasa yang mempunyai unsur-unsur kemanusiaan yang tinggi akan meninggalkan kesan positif kepada sesuatu bangsa dan komuniti.
Katanya lagi, bahasa yang mampu menyalurkan ilmu boleh dijadikan bahasa pengantara dalam bidang perniagaan dan sebagainya, seterusnya dipandang tinggi oleh komuniti antarabangsa. – BERNAMA