SHAH ALAM – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor memberi jaminan bekalan barangan keperluan di negeri ini mencukupi sepanjang Ramadan nanti.
Pengarahnya, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata FAMA juga telah menyediakan stok simpanan untuk beberapa barangan keperluan seperti ikan, ayam, kelapa dan daging.
“Berdasarkan pengalaman yang lepas, bekalan barangan ini selalu mengalami kekurangan semasa Ramadan dan menjelang hari raya akibat penambahan permintaan daripada pengguna.
“Stok yang FAMA sediakan ini akan digunakan bagi mengimbangi pasaran bagi mengelakkan harga barangan ini naik dan membebankan pengguna,” katanya kepada Bernama pada majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena menyambut Ramadan di Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini hari ini.
Abdul Ghariff berkata FAMA juga akan melakukan pengawasan di semua 60 pasar tani kendaliannya di Selangor agar tiada peniaga menaikkan harga jualan sesuka hati.
“Saya juga ingin menasihatkan pengguna agar mengemukakan aduan kepada FAMA jika ada peniaga pasar tani kami yang menaikkan harga,” katanya. – BERNAMA