KUALA LUMPUR – Butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format Standard Penyebaran Data Khas Tabung Kewangan Antarabangsa (SDDS IMF) menunjukkan rizab negara pada akhir April 2017 tetap boleh guna, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat berkata mengikut format SDDS IMF, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat tentang saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain.
Ia juga menyediakan aliran masuk dan keluar pertukaran asing yang telah dianggarkan terlebih dahulu dan di luar jangkaan bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Dalam butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format SDDS, bank pusat berkata aset rizab rasmi berjumlah US$96.1 bilion (US$1=RM4.27), manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$2.09 bilion pada akhir April 2017.
Menurut BNM lagi, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan diunjurkan sebanyak US$277.9 juta .
Sementara itu, jumlah kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak US$19.1 bilion pada akhir April 2017, mencerminkan pengurusan semasa mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan.
Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, bank pusat berkata data berkenaan tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak US$2.23 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Butiran terperinci itu juga menunjukkan bahawa satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$130.0 juta, katanya.
“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.
“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya. – BERNAMA