KOTA KINABALU – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini berkata rundingan mengenai penggubalan kod tata cara (COC) di Laut China Selatan melakar arah tuju positif dan beliau berharap COC berkenaan akan siap pada tahun ini juga.
Menurut beliau, perkara itu adalah berdasarkan hasrat China untuk mempercepatkan urusan penyediaan rangka kerja COC berkenaan bersama-sama pihak terlibat, khususnya negara anggota ASEAN.
“China juga mahu COC itu diwujudkan, walaupun ia tidak terikat sebagai suatu undang-undang. Bagaimanapun, ia merupakan satu-satunya kaedah yang boleh kita guna pakai bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman di rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Toastmasters D87 ‘Stand Out, Speak Up’ di sini hari ini.
Anifah berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan pemberita tentang perkembangan rundingan mengenai COC itu.
Kebelakangan ini, isu berkaitan Laut China Selatan bertukar menjadi isu serantau dan antarabangsa dalam kalangan pihak berkepentingan, termasuk mengenai perkembangan di Laut China Selatan, keganasan dan fahaman pelampau, keselamatan maritim dan isu keselamatan lain. – BERNAMA