CARACAS – Seorang remaja lelaki terbunuh dalam rusuhan di Venezuela menjadikan angka kematian meningkat kepada 34 orang pada Rabu dan ketegangan semakin memuncak didorong hasrat kerajaan untuk meminda perlembagaan.
Ribuan penunjuk perasaan berarak menuju ke bangunan Parlimen.
Pertempuran dengan pasukan keselamatan berlaku apabila jalan raya disekat dan anggota penguatkuasaan menggunakan gas pemedih mata serta getah peluru untuk meleraikan rusuhan.
Keganasan meningkat apabila kumpulan penunjuk perasaan mula membaling batu dan bom api ke arah kereta kebal serta pegawai Polis Negara Bolivarian (PNB) dan Pengawal Kebangsaan Bolivarian (GNB).
Menurut pihak berkuasa lebih 180 orang cedera termasuk enam anggota Parlimen.
Anggota Parlimen pembangkang yang cedera antaranya Julio Montoya, Gaby Arellano, Miguel Pizarro, Ivlev Silva, Williams Davila dan naib presiden Parlimen Freddy Guevara.
Pembangkang berkata, mereka akan kekal mengadakan bantahan sehingga perintah perlembagaan negara yang terganggu dipulihkan semula kerana menurut pembangkang gangguan berlaku apabila Mahkamah Agung mengambil alih fungsi Parlimen.
Selain itu, pihak pembangkang menuntut para hakim yang mengeluarkan keputusan itu dipecat selain menggesa pilihan raya bagi semua jawatan awam termasuk presiden diadakan.
Langkah Presiden Venezuela Nicolas Maduro untuk meminda Perlembagaan menerima tentangan pembangkang yang mendakwa ia adalah satu percubaan oleh pihak eksekutif untuk memegang kuasa. – NNN-EFE