KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila menahan enam suspek lelaki termasuk dua warga Singapura yang menjadi dalang sindiket itu serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata semua supek ditahan oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dengan kerjasama maklumat perisikan daripada Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dan Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia dalam enam serbuan di Bangsar, Damansara, Rawang dan Johor Bharu pada 6 Mei lalu.
“Ketua sindiket iaitu warga Singapura berusia 54 tahun ditahan di sebuah kondominum di Damansara bersama seorang lagi suspek juga warga Singapura, 43, dan polis berjaya merampas 64.17 kilogram syabu.
“Hasil kejayan itu, dua lagi ditahan di Bangsar dan Rawang manakala dua lagi berjaya ditahan di Kempas, Johor Bharu semuanya warga tempatan berusia lingkungan 32 ke 47 tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut berjaya merampas 61.53 kilogram disyaki ketamin, 23,985 pil disyaki ekstasi dan 68 biji disyaki pil erimin 5 dipercayai untuk diseludup ke Indonesia.
Menurutnya ,polis juga menyita harta bernilai RM1.4 juta melibatkan tujuh buah kenderaan mewah, pelbagai mata wang asing dan 11 utas jam tangan berjenama dan barang kemas.
“Kesemua suspek direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Mengulas tentang penahanan dua rakyat Malaysia yang digelar MR T dan Mr G masing-masing dari Johor dan Pulau Pinang di Bangkok baru-baru ini, Mohd Mokhtar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turut membantu siasatan bersama pihak berkuasa Thailand.
“Kita akan jumpa kedua-dua suspek untuk mendapatkan keterangan apabila pihak Thailand selesai membuat siasatan,” katanya.
Kedua-dua suspek dianggap sebagai anggota penting sindiket dadah antarabangsa yang bertanggungjawab dalam penyeludupan ratusan kilogram dadah ke Malaysia. – BERNAMA