KOTA KINABALU – Skuad bola sepak wanita negara beroleh suntikan semangat menghadapi Sukan SEA Ogos depan, selepas membelasah Nepal 4-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), dekat sini petang tadi.
Bermula dengan garang, skuad negara di bawah bimbingan Mohd Asyraaf Fong Abdullah tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh gol pertama apabila pemain tengah, Shereilynn Elly Pius menjaringkan gol seawal minit ke-2.
Tuan rumah kemudian berkelebihan dua gol apabila Nur Athira Mamat menghasilkan gol kedua hasil percubaan dari dalam kotak penalti pada minit ke-43 dan kedudukan 2-0 kekal sehingga waktu rehat.
Skuad negara terus garang pada babak kedua dan Shereilynn sekali lagi melakukan penyudah baik apabila meledak gol ketiga negara, dua minit selepas perlawanan bersambung.
Walaupun ketinggalan tiga gol, skuad Nepal tidak berputus asa untuk mencari jaringan dan akhirnya pada minit ke-79, ketua pasukan mereka, Sajana Rana berjaya merapatkan jurang.
Bagaimanapun, pemain gantian negara, Puteri Noralisa Wilkilson melengkapkan kemenangan Malaysia apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-84 dan tuan rumah berjaya mempertahanan kedudukan itu sehingga pengadil, Suhaizi Shukri meniupkan wisel penamat.
Kemenangan ke atas Nepal itu adalah yang pertama buat Malaysia selepas tewas 0-1 dalam aksi di Nepal, pada Disember lalu, serta seri 1-1 pada perlawanan pertama di Stadium Likas, di sini, pada Isnin lepas. – BERNAMA