KOTA KINABALU – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyokong cadangan sekolah kerajaan aliran Inggeris diwujudkan semula di negeri ini bagi mempertingkat penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata pengwujudan sekolah kerajaan aliran Inggeris itu adalah sangat bertepatan bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam arus globalisasi.
“Dunia sudah berubah, suka atau tidak suka kita terpaksa menyediakan diri dengan pelbagai ilmu untuk menangani arus globalisasi. Sebenarnya dulu saya juga pernah mencadangkan perkara yang sama kepada kerajaan.
“Saya tahu memang ada kekuatiran beberapa pihak mengenai cadangan itu kerana ia melibatkan perubahan dasar, namun saya yakin ia tidak sedikit pun menjejaskan rasa cinta kita kepada negara. Malah ini akan membuat rakyat Malaysia lebih bersedia menangani pelbagai cabaran yang dibawa arus globalisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran buku ‘The Natural History Of An Endangered Ape’ di sini, hari ini.
Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mencadangkan supaya sekolah kerajaan aliran Inggeris diwujudkan semula di Sabah.
Mengulas mengenai pelancaran buku berkenaan, Masidi berkata pihaknya menyambut baik dan mengalu-alukan penerbitan buku mengenai orang utan di Sabah.
“Buku yang ditulis Elizabeth L. Bennett dengan jurugambar Cede Prudente ini dapat membantu kita memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya menjaga habitat orang utan di Sabah.
“Walaupun buku ini telah diterbitkan pada 1998, ia telah dikemas kini dan diterbitkan semula. Kandungan buku ini memberi data dan maklumat terbaharu yang mungkin sebelum ini kita tidak ketahui,” katanya. – BERNAMA