PUTRAJAYA – Spritzer, syarikat pengeluar air galian semulajadi terlaris di Malaysia, merupakan penaja perak Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9, dikenali secara rasminya sebagai Kuala Lumpur 2017 atau KL2017, dengan penajaan antara RM1 juta dan RM3 juta.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata penajaan itu merupakan kerjasama kali kedua antara syarikat pengeluar air terbesar Malaysia itu dan kementerian selepas pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.
“Spritzer akan dikenali sebagai ‘Penaja Rasmi Air Botol” bagi temasya itu dan penajaan termasuk wang tunai, barangan dan sokongan pemasaran.
“Spritzer berpengalaman luas dalam menguruskan sumber secara lestari dan saya percaya ini akan melengkapi usaha kami dalam melaksanakan program-program Sukan Hijau yang kami rancang bagi KL2017,” katanya dalam ucapan hari ini.
Khairy berkata Spritzer juga akan mewujudkan zon santai iaitu “Chill Out Zone” berhampiran Stadium Nasional Bukit Jalil sepanjang temasya itu bersempena dengan inisiatif hijau dan melancarkan program aktiviti untuk menggalakkan orang ramai melibatkan diri dalam aktiviti hijau menerusi penanaman berasaskan ekologi atau penanaman menggunakan kurang tanah.
“Amat jelas bahawa syarikat ini mempunyai strategi yang betul dari segi memasarkan produknya dan saya berbesar hati bahawa Spritzer memutuskan untuk melonjakkan jenama mereka menerusi kerjasama dalam KL2017,” katanya.
Sukan SEA akan diadakan dari 19 hingga 30 Ogos manakala Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 Sept. – BERNAMA