PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai bernilai kira-kira RM800,000 dari stor rumah seorang Koperal di Melaka.
Anggota polis berusia 52 tahun itu merupakan individu kesepuluh yang ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah yang membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.
Suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka ditahan di kuarters Polis IPK itu kira-kira 2.15 petang semalam.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan rampasan dan tangkapan itu.
Difahamkan anggota terbabit berperanan mengumpul duit dari pusat judi dan rumah urut.
Hari ini Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 24 Mei ini terhadap individu tersebut bagi membantu siasatan kes selepas membenarkan permohonan reman yang dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Individu itu yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9.45 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berserta tangan bergari disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17 (a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya direman selama lima hari bermula hari ini kerana disyaki menerima suapan.
Majistret Nik Isfahanie mengeluarkan perintah reman tersebut selepas membenarkan permohonan SPRM.
Pegawai tersebut ditahan di pejabatnya pada 1.10 tengah hari semalam kerana menerima suapan RM5,000 sebagai balasan agar dia tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu yang terlibat dalam kes ugutan jenayah di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu ugutan melalui samaran. – BERNAMA