JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mencadangkan supaya satu unit pemantau diwujudkan untuk meneliti hala tuju dan prestasi semua anak syarikat kerajaan Johor bagi mengelakkan pembaziran dan memastikan tiada penyelewengan berlaku.
Baginda juga tidak mahu ada syarikat kerajaan negeri yang menjalankan perniagaan di luar bidang yang ditetapkan.
“Kerajaan negeri Johor telah menubuhkan beberapa syarikat milik kerajaan seperti Johor Corporation (JCorp), Yayasan Pelajaran Johor, Perbadanan Islam dan lain-lain untuk membantu dalam urusan pembangunan ekonomi negeri.
“Namun, suka saya ingatkan supaya semua syarikat tersebut dan anak-anak syarikat yang ditubuhkan di bawahnya supaya menjalankan urus tadbir dengan teratur mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan,” titah baginda pada perasmian pembukaan penggal persidangan kelima Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bangunan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Titah ucapan baginda dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mewakili Sultan Ibrahim merasmikan persidangan terbabit.
Sultan Ibrahim juga berharap agar kerajaan Johor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan integriti penjawat awam serta mengemas kini prosedur kerajaan yang lemah dan terdedah rasuah.
Titah baginda, kes siasatan oleh SPRM terhadap penjawat awam kerajaan Johor juga jangan dilihat sebagai cara untuk melemahkan pentadbiran kerajaan Johor sebaliknya harus dijadikan kekuatan.
“Soal integriti adalah sesuatu yang tidak boleh ditolak ansur. Saya percaya majoriti penjawat awam di negeri Johor mengamalkan sikap integriti yang tinggi.
“Namun begitu, hanya disebabkan segelintir individu yang tidak amanah, nama baik perkhidmatan telah tercalar. Ibarat kata pepatah ‘kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit’,” titah baginda.
Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya bersama-sama membantu kerajaan negeri menghapuskan amalan rasuah dan jangan mencari jalan pintas dengan mengamalkan ‘bayaran tol’ atau apa juga bentuk suapan, titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menggesa Jabatan Agama Islam Negeri Johor supaya mengkaji kelemahan dan berusaha meningkatkan mutu pembelajaran sekolah agama kerana baginda mahu generasi Bangsa Johor akan datang adalah generasi yang penuh ilmu agama.
Baginda bertitah masalah kekurangan guru, kelengkapan sekolah serta keadaan kelas yang kurang selesa perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Sistem pendidikan sekolah agama Islam negeri Johor merupakan contoh kepada negeri-negeri lain, namun, pada hari ini, saya lihat sistem pendidikan sekolah agama ini semakin lemah dan dianggap seperti kurang penting,” titah baginda.
Menurut Sultan Ibrahim, untuk membentuk generasi yang berdisiplin dan berakhlak mulia, ibu bapa dan keluarga juga haruslah memikul tanggungjawab dalam menjaga dan mendidik anak-anak di rumah dan jangan menyalahkan orang lain sekiranya anak sendiri tidak dikawal dan terjebak dalam aktiviti yang kurang sihat.
“Contohnya insiden kemalangan kanak-kanak berbasikal tengah malam awal tahun ini, mengapa anak-anak dibiarkan berkeliaran pada 3 pagi dan membawa basikal tiada lampu di jalan besar. Saya harap perkara seperti ini tidak berulang lagi,” titah baginda. – BERNAMA