KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan mengadakan pertemuan dengan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa.
Perjumpaan kira-kira 45 minit itu di sebuah hotel di sini turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Pengiring.
Raja Hamad sedang mengadakan lawatan negara ke Malaysia selama empat hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bermula Ahad lalu.
Ini merupakan lawatan negara pertama baginda ke Malaysia sejak menaiki takhta pada 6 Mac 1999.
Baginda dalam rangka lawatan ke Asia Tenggara.
Raja Hamad dijadual bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, Putrajaya hari ini dan kemudian menghadiri majlis santapan malam yang dihoskan Najib.
Pertemuan itu dijangka akan menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) termasuk perjanjian mengenai perkhidmatan udara dan kerjasama pertahanan ditandatangani.
Semalam Raja Hamad dianugerahkan Beret Merun Kehormat dan Sayap Penerjunan Kehormat dari Briged 10 Para serta turut diraikan pada Majlis Santapan Negara di Istana Negara. – BERNAMA