TAK serik-serik mencari cinta sejati, megastar antarabangsa Taylor Swift kini dilaporkan bercinta dengan aktor British Joe Alwyn sejak beberapa bulan lepas.
Ini merupakan jejaka British ketiga yang menjadi teman lelaki Taylor selepas Harry Styles dan Tom Hiddleston.
“Taylor dan Joe sedang menjalinkan hubungan yang agak serius. Namun selepas apa yang berlaku terhadap hubungan tak kesampaiannya dengan pelakon Tom Hiddleston, Taylor memilih untuk lebih berhati-hati dalam mendedahkan kisah cintanya kali ini,” kata seorang sumber kepada akhbar The Sun.
The Sun merupakan media pertama yang melaporkan hubungan cinta “Hiddleswift” musim panas yang lalu, jadi mungkin berita ini mempunyai tahap kesahihan yang tinggi.
Taylor juga dilaporkan sedang menyewa sebuah kediaman di Utara London bagi memudahkan dia berjumpa dengan kekasih barunya itu, yang dikatakan tinggal di kejiranan yang sama bersama-sama ibu bapanya.
“Penyanyi itu terbang ke UK menggunakan jet peribadi dan pasukan keselamatannya memastikan tiada siapa tahu pergerakan Taylor.
“Dia juga keluar bersiar-siar dengan Joe di sekitar kota London secara senyap-senyap; sama ada memakai topi dan cermin mata hitam untuk menyembunyikan identitinya. Setakat ini masih ramai yang tidak perasan Taylor berada berdekatan dengan mereka, begitu juga jiran-jirannya yang lain,” kata sumber itu lagi. – MYNEWSHUB.CC