KUALA KANGSAR – Tender projek pembinaan Jambatan Manong bernilai RM43.5 juta akan dikeluarkan Jun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membuat penilaian terhadap tender pembinaan jambatan yang mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Jun tahun lalu ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar itu.
“Kita berharap projek ini dapat dilaksanakan segera untuk kemudahan penduduk di sini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan projek Dataran Amanjaya Manong di sini hari ini.
Pembinaan jambatan itu menyeberangi Sungai Perak, menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata konsep pembangunan pekan kecil yang dilaksanakan kerajaan telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-Habitat), kerana ia menjadi pemangkin kepada pembangunan.
“Kita akan terus melaksanakan konsep tersebut dalam usaha kerajaan melaksanakan pendekatan dalam pembangunan semula pekan kecil di negeri ini bagi meningkatkan kegiatan ekonomi rakyat,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 15 pekan kecil yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak telah siap manakala 10 lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap beberapa tahun akan datang. – BERNAMA