MANILA – Sekumpulan militan bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Daesh dilaporkan menyerang sebuah bandar di Filipina dan sedang dalam pertempuran dengan angkatan tentera kebangsaan.
Penduduk di bandar Marawi, yang terletak di selatan negara tersebut, diarahkan untuk tidak meninggalkan kediaman masing-masing kerana terdapat sekurang-kurangnya 15 orang lelaki bersenjata api daripada sebuah kumpulan pelampau Muslim bernama Maute menyerang bandar itu.
Kumpulan tersebut, yang juga dikenali sebagai Islamic State of Lanao dilaporkan telah menerima sokongan daripada pihak Daesh.
Pasukan angkatan tentera dan polis telah ditempatkan di bandar tersebut selepas para penduduk di kampung berdekatan melaporkan kecemasan dan merayu untuk mendapat bantuan, lapor akhbar UK, The Independent.
Presiden Rodrigo Duterte kemudiannya mengisytiharkan undang-undang tentera dan mengeluarkan perintah darurat di daerah Mindanao.
Menurut Jeneral Eduardo Ano yang merupakan Ketua Turus Am, sekurang-kurangnya seorang terbunuh manakala lapan lagi anggota tercedera dalam pertempuran.
“Saya merayu kepada penduduk di bandar Marawi agar tidak meninggalkan kediaman anda, serta-merta jatuh ke tanah jika anda terdengar tembakan serta kunci pagar dan pintu rumah setiap masa,” nasihat Gabenor daerah Lanao del Sur, Mamintal Adiong Jr. kepada akhbar The Philippine Star.
Mamintal yang juga seorang anggota kanan Majlis Marawi itu berkata, pasukan tindakan kecemasan tempatan dari seluruh rantau ini telah digerakkan untuk membantu penduduk terperangkap dalam sebuah serangan bertembak balas.
Pada Mac lalu, Presiden Duterte meminta bantuan daripada datuk bandar di kawasan penduduk Islam di selatan negara itu bagi menangani militan Islam dan mengancam untuk mengenakan undang-undang tentera di sana jika masalah itu tidak diselesaikan.
Tahun lalu, Duterte berjanji untuk mengabaikan hak asasi manusia jika perpecahan kumpulan Daesh di Timur Tengah menjadikan pemberontakan Islam di negaranya bertambah buruk.
Maute merupakan kumpulan radikal Islam yang terdiri daripada bekas gerila Barisan Pembebasan Islamik Moro dan beberapa lagi kumpulan pejuang asing.
Mereka dipercayai telah mengambil nama mereka dari pengasasnya iaitu Abdullah Maute. – MYNEWSHUB/CC