BANGKOK – Tentera Thailand dan Malaysia telah berikrar untuk meningkatkan kerjasama, terutama di sepanjang sempadan susulan mesyuarat antara panglima tentera darat kedua-dua negara, Jen Chalermchai Sittisart dan Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim.
Zulkiple melakukan lawatan pengenalan ke atas rakan sejawatannya di markas Tentera Diraja Thailand di sini hari ini selepas dilantik sebagai Panglima Tentera Darat Malaysia yang baharu pada 16 Dis tahun lepas.
Panglima Tentera Darat Thailand dan Malaysia berikrar untuk meningkatkan pertukaran maklumat ketenteraan antara kedua-dua negara serta kerjasama dalam rondaan dan pemeriksaan bersama di sepanjang sempadan bersama,” menurut kenyataan Tentera Diraja Thailand.
Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua tentera di sempadan akan menghalang dan memerangi ancaman keganasan, menyeberang masuk sempadan secara haram, penyeludupan kontraband, pengedaran dadah dan lain-lain.
Kedua-dua tentera darat juga membincangkan perkembangan di selatan Thailand dan proses damai yang sedang diusahakan.
Menurut kenyataan itu, Tentera Diraja Thailand mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menyokong projek-projek pembangunan di sepanjang sempadan di daerah Sadao, Songkla dan Kuandon di Wilayah Satun. – BERNAMA