SEREMBAN – Anggota bomba dan penyelamat di negeri ini diseru supaya terus meningkatkan tahap kecekapan supaya dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan (JBPMNS) Jusman Roman berkata sebagai anggota penguatkuasa, mereka perlulah sentiasa bersiap siaga dan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
“Kita sebagai anggota penyelamat perlu berbangga dengan tugas kita dalam membantu masyarakat. Meraikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017, marilah kita bersama-sama beriltizam untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan pada masa sama perlulah menjaga keselamatan diri,” katanya yang mewakili Timbalan Pengarah JBPMNS Johari Ahmad, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 yang diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban.
Pada acara sambutan itu, balai berkenaan membunyikan siren selama 12 saat sebagai menghormati anggota pasukan berkenaan yang telah meninggal dunia.
Turut diadakan, acara perbarisan serta memotong kek sempena sambutan tersebut. – BERNAMA