JIKA anda telah menonton dan menyukai filem OlaBola, anda pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton adaptasi filem tersebut di atas pentas teater tahun hadapan.
Dibawakan oleh Enfiniti, OlaBola The Musical bakal dipentaskan di Istana Budaya di ibu negara selama sebulan bermula 22 Februari 2018.
Apa yang menariknya, pelakon, penerbit dan pengasas Enfiniti, Puan Sri Tiara Jacquelina bakal menyerlahkan bakat mengarah buat julung kalinya dalam projek ini.
“Salah satu daripada cabaran terbesar adalah untuk ‘membawa’ penonton daripada dewan teater ke stadium.
“Saya mahu membuatkan penonton ‘lupa’ mereka sebenarnya berada di dalam auditorium dan rasa seperti mereka benar-benar di dalam stadium,” katanya dalam sidang media, Selasa.
OlaBola, yang membawa keuntungan RM16,67 juta dan merupakan filem ketiga dengan kutipan paling tinggi sepanjang masa di Malaysia, berkisar tentang kisah sebenar perjalanan pasukan bola kebangsaan.
Skuad Harimau Malaya itu pernah mencatatkan sejarah apabila layak ke acara Sukan Olimpik musim panas 1980 di Moscow, Rusia.
Tambah Tiara lagi,pementasan tersebut akan mengekalkan jalan penceritaan asal daripada filemnya, namun akan distrukturkan semula menjadi format muzikal.
Selain itu, muzikal OlaBola akan mengetengahkan pengaruh muzik rap dan hip-hop.
“Saya cuba untuk menentukan apakah genre yang sesuai untuk OlaBola? Dan saya teringat bagaimana pemain bola sepak berkomunikasi antara satu sama lain.
“Mereka ahli sukan, mereka aktif; jadi ‘tenaga’ bagaimanakah yang mereka beri? Jadi satu hari tu, saya terfikir, mungkin lebih sesuai jika mereka membawakan genre rap,” kata Tiara lagi.
Namun, Tiara tahu bahawa mungkin ada yang kurang meminati konsep tersebut.
Bagaimanapun, beliau positif teater muzikal ini akan menghiburkan semua yang menontonnya.
“Muzikal ini akan menghidangkan yang terbaik untuk semua orang. Bukan semua karakter akan rap dalam teater ini,” ujar Tiara.
Tiket muzikal ini dijual bermula harga RM120 dan akan mula dijual bermula 25 Mei ini. Promosi ini akan berlangsung selama 3 bulan.
Selepas tamat tempoh promosi pula, harga tiket akan dijual pada harga RM250 hingga RM300. –MYNEWSHUB.CC