KUALA LUMPUR – Tiga veteran UMNO diangkat sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena Sambutan Hari UMNO Ke-71.
Mereka adalah bekas Bendahari dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Hanafiah Hussain; Pengerusi Tetap Wanita UMNO, Tan Sri Napsiah Omar dan ahli Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Abdul Latiff.
Anugerah Tokoh Melayu Terbilang itu disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi mengenang jasa dan perjuangan ketiga-tiga individu terbabit dalam parti.
Penganugerahan gelaran tokoh itu bermula dengan montaj mengenai latar belakang ketiga-tiga individu, khususnya permulaan pembabitan mereka dalam UMNO.
Turut ditayangkan adalah petikan reaksi ketiga-tiga penerima anugerah berkenaan, yang masing-masing bertegas mahu perjuangan UMNO dan maruah Melayu terus dimartabatkan.
Ketika penyampaian anugerah itu, lebih 100,000 penyokong dan ahli UMNO yang hadir bersorak sebagai tanda penghormatan kepada ketiga-tiga tokoh terbabit. -BH Online