PENYANYI rap Joe Flizzow meluahkan rasa terkilan kerana terdapat segelintir pengusaha barbershop mula ciplak identiti dan meniru konsep kedai gunting rambut miliknya.
Tindakan tidak bertanggungjawab peniaga itu turut mengelirukan peminat dah pelanggannya dengan imej identiti kedai diusahakan dirinya yang dibuka pada tahun 2014 lalu.
“Bukan satu atau dua kedai, tetapi sudah banyak kedai yang meniru konsep kedai saya dan saya rasa sudah tiba masanya untuk saya bersuara kerana ia mengelirukan pelanggan saya.
“Tolong cipta identiti sendiri supaya pelanggan tidak hilang rasa hormat pada diri anda,” katanya artis berusia 38 tahun itu kepada mStar Online.
Menurut Joe, dia bukan berasa cemburu tetapi berbangga kerana semakin anak muda yang mula mengusahakan kedai perniagaan gunting rambut yang sebelum ini hampir dimonopoli sepenuhnya oleh warga asing.
“Saya tak kata saya perintis perniagaan ini, tetapi saya antara yang terawal mencetuskan fenomena barbershop berkonsep hipster di Malaysia.
“Sudah tentu saya mahu melihat anak bangsa saya berjaya dalam bidang ini.
“Saya menegur bukan kerana iri hati, saya mahu membantu mereka untuk menjadi diri sendiri dan bukannya menjadi diri orang lain kerana ia akan menjejaskan perniagaan mereka nanti,” jelasnya.
Tambah Joe, dia juga mengamalkan konseop menyewa kedai dan kerusi di setiap cawangan Joe’s Barbershop di mana setiap cawangan mempunyai bos yang berlainan.
Ini sekali gus dapat membantu mereka yang mahu mengusahakan kedai sepertinya. – MYNEWSHUB.CC