NYANYIAN semula lagu Hancur Aku oleh kumpulan Nidji menyebabkan ramai yang berasa ada yang tidak kena pada lirik asal lagu ciptaan Estranged itu.
Menjelaskan tentang perkara itu, vokalis kumpulan Nidji, Giring berkata, lirik asal lagu tersebut ‘Apa Khabar Teman’ sengaja ditukar kepada ‘Apa Khabar Mantan’ mengikut kesesuaian dengan pasaran asal negara mereka, Indonesia.
Tambah Giring lagi, mereka tidak mempunyai niat untuk bersaing ataupun mahu dibandingkan dengan Estranged yang merupakan pemilik lagu tersebut.
“Kami tidak mahu bersaing atau membuat perbandingan cuma perkataan mantan yang bermaksud bekas kekasih dalam konteks lagu ini lebih sesuai dengan pendengar di Indonesia.
“Jadi ia sengaja ditukar mengikut kesesuaian kami yang membawa lagu itu sebagai lagu putus cinta yang cukup mendayu-dayu,” katanya kepada mStar Online.
Lagu Hancur Aku merupakan salah satu daripada 12 lagu yang dimuatkan dalam Album kelima Nidji yang berjudul, Love, Fake & Friendship.
Menurut Nidji, lagu Hancur Aku itu telah digubah semula menggunakan khidmat tiga penerbit muzik terkenal Indonesia termasuklah Irwan Opung.
Jika Estranged menampilkan Fazura dalam lagu itu, Nidji pula memilih bakat baru Indonesia, Dea sebagai rakan kolaborasi. – MYNEWSHUB.CC